Oleh : Muhammad Khairulanwar Ali Rahman / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 31 Disember. - Ketika berada di ambang Tahun Baharu Masihi 2026, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ingin mengajak semua pihak untuk sama-sama merenung pencapaian kita dan hala tuju yang telah dilalui.
Keadaan tahun lalu masih sahaja menguji kita dengan cabaran-cabaran ekonomi, kesan dari pergolakan global termasuk krisis perubahan iklim yang semakin menghimpit. Namun, rakyat negara ini masih sahaja tetap tenang dan waspada.
Inilah yang kita mahukan untuk menjadi bangsa yang gigih yang sentiasa berani mengharungi cabaran.
Demikian titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam Titah Perutusan bersempena Menyambut Tahun Baharu Masihi 2026.
“Sehubungan itu, beta berbangga mengetahui kebangkitan golongan muda seperti Brunei Youth Council dan Brunei Young Entrepreneurs, yang tampil membawa perubahan.
“Sementara dari sudut lain pula, kita juga melihat para petani dan penternak bangkit meningkatkan hasil pengeluaran mereka. Ini adalah petanda baik, selaras dengan hasrat kerajaan sendiri untuk mencapai sara diri dalam hal ehwal pemakanan," titah baginda.
Dalam melangkah ke tahun baharu ini, titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kerajaan akan kekal komited untuk meletakkan keutamaan kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat melalui peningkatan dan pembaharuan dasar.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya bertitah, walaupun ekonomi negara mengalami penurunan 1.1 peratus pada enam bulan pertama tahun 2025 berbanding tempoh yang sama tahun 2024, namun asas makroekonomi kita masih sahaja berdaya tahan melalui lebihan imbangan perdagangan berjumlah BND4.0 bilion sehingga bulan September, di samping penurunan kadar inflasi sebanyak 0.3 peratus setakat bulan Oktober 2025. Ini jelas menunjukkan betapa kita masih perlu untuk melipatgandakan lagi usaha merentasi sektor utama dengan lebih berdaya saing.
“InsyaaAllah, kita akan terus meneroka peluang pelaburan, selaras dengan Economic Blueprint melalui sektor-sektor utama. Matlamat kita adalah jelas, iaitu bagi menjana peluang pekerjaan berkualiti tinggi dan memastikan negara kekal relevan serta berdaya saing di pentas serantau dan global.
“Ke arah itu, kerajaan juga akan terus komited menyediakan persekitaran perniagaan yang kondusif, mengukuhkan lagi jaringan dengan rakan-rakan strategik antarabangsa, memperkasa jenama halal, serta melonjakkan eksport produk industri tempatan yang kini dilihat setanding dengan piawaian antarabangsa," titah Kebawah DYMM.
Terdahulu, baginda bertitah merafakkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala di atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita dapat memasuki Tahun Masihi 2026.